music

Tuesday, 18 December 2018

BAB 5 PENGURUSAN BILIK DARJAH


Pengurusan merupakan proses merancang, mengorganisasi, memimpin dan mengawal usaha ahli-ahli organisasi dan menggunakan sumber yang terhad bagi mencapai matlamat yang optimum. Menurut Mok Soon Sang (2011), bilik darjah dalam konteks pendidikan ialah sebuah bilik yang mengandungi sekumpulan pelajar berada di bawah jagaan seorang guru untuk menjalani aktiviti pengajaran dan pembelajaran. Jadi konsep pengurusan bilik darjah menurut Richards (1990), adalah sebagai organisasi dan kawalan guru ke atas tingkah laku, pengerakan serta interaksi murid semasa pembelajaran berlangsung supaya pengajaran dapat dilaksanakan dengan berkesan. Selain itu, menurut Alberto & Trautman (1986), pengurusan bilik darjah boleh didefinisikan sebagai kemahiran guru menguruskan masa, ruang, sumber pembelajaran, peranan dan tingkah laku murid dalam menyediakan suatu iklim yang sesuai untuk pembelajaran. Pengurusan bilik darjah juga merupakan faktor penting dalam mempengaruhi motivasi, tahap penglibatan murid dalam proses pengajaran dan pembelajaran serta tingkah laku dan sikap murid di dalam bilik darjah.
            Bagi melaksanakan peranan pengurus yang berkesan, guru perlu tahu ilmu mengurus bilik darjah dari segi iklim dan budaya persekitaran bilik darjah. Persekitaran pembelajaran yang kondusif mempunyai keupayaan untuk merangsang minat dan semangat murid untuk terus belajar. Iklim yang dapat memotivasikan murid merujuk kepada suasana atau budaya yang dapat mewujudkan motif dalam diri murid untuk bertindak ke arah mencapai matlamat pembelajaran. Terdapat beberapa faktor yang menyumbang kepada suasana tersebut iaitu persekitaran fizikal, persekitaran psikososial dan peraturan dan rutin bilik darjah. Persekitaran fizikal di dalam bilik darjah merangkumi aspek susunan dan reka bentuk fizikal, sumber bahan pembelajaran, ruang atau sudut pembelajaran, ruang pada dinding, pencahayaan, pengudaraan dan perabot serta aspek kebersihan. Bilik darjah yang teratur, kemas dan bersih dapat memberikan gambaran keselesaan kepada murid dan mereka hendak berada di dalam bilik tersebut. Keadaan ini memberi kesan kepada kemampuan guru menguruskan kelasnya dengan berkesan. Selain itu, dari segi persekitaran psikososial pula merujuk kepada hubungan antara keperluan emosi individu dengan persekitaran sosialnya. Persekitaran psikososial yang sihat mempunyai ciri-ciri seperti suasana selesa dan mesra, menggalakkan pembelajaran koperatif, suasana yang merangsang pembelajaran dan sensitif dan peka kepada perbezaan individu. Faktor yang memberikan kesan kepada persekitaran psikososial yang sihat ialah pendekatan pengajaran guru semasa di dalam bilik darjah. Seterusnya, peraturan dan rutin bilik darjah. Guru yang berkesan akan membentuk peraturan dan prosedur di dalam bilik darjahnya agar dapat mengurangkan gangguan dan meningkatkan pembelajaran. Peraturan mesti ringkas dan jelas, bermakna dan dipersetujui oleh murid serta mesti adil dan bertujuan membantu proses pembelajaran. Pengurusan rutin bilik darjah pula melibatkan tugas guru dalam 3 bidang utama iaitu (1) penyediaan, pentafsiran dan penyediaan rekod, (2) penyediaan pelaksanaan rutin bilik darjah dan (3) pelaksanaan tugas-tugas lain.
            Kemahiran mengurus bilik darjah adalah penting untuk dikuasai oleh guru bagi mewujudkan pengurusan bilik darjah yang berkesan. Antara kemahiran mengurus bilik darjah adalah kemahiran merancang, mengelola, mengawal dan menjalin hubungan dengan murid. Semasa merancang, guru merujuk sukatan pelajaran untuk menentukan objektif dan hasil pembelajaran seterusnya memilih topik, pendekatan, strategi, kaedah yang sesuai dan juga aktiviti, pengalaman pembelajaran, penetapan tempoh, membentuk penilaian, sumber pengajaran dan pembelajaran, pemulihan dan pengayaan. Kemahiran mengelola adalah arahan dan peraturan yang jelas perlu diberikan serta mengatur aktiviti dan membahagi kumpulan untuk memahami tujuan pembelajaran dan peranan mereka untuk kelancaran proses pembelajaran. Di samping itu, kemahiran mengawal memerlukan guru memantau dan memberi bimbingan supaya murid tidak menimbulkan masalah seterusnya dengan memberi aktiviti pemulihan dan pengayaan. Seterusnya, kemahiran menjalin hubungan dengan murid. Guru sebagai penggerak dan pemimpin bilik darjah perlu menetapkan peraturan bagi mengelak tingkah laku negatif dan guru menggalakkan kerjasama antara murid. Guru juga perlu mengambil berat kebajikan murid supaya murid merasa selamat, yakin dan disayangi.
            Strategi dan kaedah memberikan peluang kepada guru mempelbagaikan penyampaian bersesuaian dengan keperluan, tahap pencapaian di samping mengambil kira perbezaan dalam kalangan murid. Guru yang efektif juga akan mengambil kira gaya pembelajaran yang berbeza dalam kalangan muridnya. Terdapat beberapa strategi yang digunakan oleh guru dalam mengurus bilik darjah. Antaranya adalah Autoritarian, permisif (kebebasan), modifikasi tingkah laku murid dan demokratik. Pendekatan authoritarian adalah guru menetapkan peraturan-peraturan dan penguatkuasaan dilakukan tanpa sifat tolak ansur. Tingkah laku murid dikawal dengan memberi arahan dan penyeliaan dijalankan secara berterusan. Guru jenis ini wujudkan suasana pembelajaran yang tertekan dan suasana kelas yang tidak kondusif. Selain itu, pendekatan secara permisif iaitu guru memberi kebebasan sepenuhnya kepada murid dengan tujuan untuk memperkembangkan potensi masing-masing. Guru mengalakkan murid bertanggungjawab atas pembelajaran mereka. Seterusnya, pendekatan modifikasi tingkah laku murid adalah guru memberikan kata pujian dan ganjaran untuk menggalakkan tingkah laku yang diingini serta mengurangkan tingkah laku yang tidak diingini. Dendaan juga digunakan sebagai pengukuhan negatif terhadap tingkah laku yang tidak diingini. Akhir sekali, pendekatan demokratik adalah guru berkongsi tanggungjawab dengan muridnya. Perkongsian tanggungjawab akan membantu murid untuk bina penghargaan kendiri.
            Kesimpulannya, pengurusan bilik darjah meliputi satu bidang yang luas. Pengurusan ini merangkumi kebolehan guru merancang, mengelola, mengawal dan membuat refleksi agar proses pengajaran dan pembelajaran dapat dilaksanakan dengan lancar dan berjaya memajukan murid-murid. Pada masa yang sama, guru juga perlu mengambil kira keperluan murid-muridnya iaitu keperluan fisiologii, psikologi dan akademik. Pengetahuan tentang keperluan murid akan membantu perancangan pengajaran. Di samping itu, perhubungan antara guru dengan murid memainkan peranan penting dalam mewujudkan suasana pembelajaran yang sihat di dalam bilik darjah. Pada masa yang sama, guru perlu mempunyai pengetahuan, kemahiran dan nilai-nilai tertentu untuk menjadikan seorang guru yang efektif dalam pengurusan bilik darjah.




RUJUKAN
Haliza Hamzah & Joy Nesamalar Samuel. (2009). Pengurusan Bilik Darjah dan Tingkah Laku. Selangor. Oxford Fajar Sdn. Bhd.

Suhaimi Taat. (2012). Pengurusan Bilik Darjah Berkesan. Diperoleh daripada http://eprints.ums.edu.my/4441/1/nc0000001734.pdf
Aflah. (2017). Konsep Pengurusan Bilik Darjah. Diperoleh daripada https://www.scribd.com/document/358759081/Nota-Edup304 









No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.